HAJI ALI BIN AWANG ADALAH DATUK SEBELAH EMAK SAYA DAN BELIAU MEMILIKI SEJARAH HIDUPNYA YANG TERSENDIRI. |
VERSI I: |
Salasilah Haji Ali dipercayai berketurunan daripada Mekong Samah, Pangilma Perang Kerajaan Patani. Menurut sejarah, Mekong Samah adalah Tuan Kundur iaitu anak kepada Raja Mansur (yang dikenali sebagai Dato' Lela Wangsa Patani-Dato' Panglima Perang Kerajaan Melayu Patani). Tuan Kundur telah melarikan diri ke Kelantan bersama anak isteri setelah mengalami kekalahan perang di Siam semasa pemerintahan Sultahn Muhammad I (1800 - 1835) Tuan Kundur telah menggunakan nama samaran Mekong Samah bagi mengelak dikesan oleh kerajaan Siam. Mekong Samah mempunyai 2 orang anak yang bernama Penghulu Abdullah dan Penghulu Yusuf (Tok Soh). |
|
Pada tahun 1808, Kerajaan Siam telah memberi amaran kepada Kerajaan Kelantan supaya menyerahkan Mekong Samah, jika tidak Kerajaan Siam akan menyerang. Dengan itu, Kerajaan Kelantan telah menangkap Mekong Samah bersama isteri dan anaknya, Penghulu Abdullah. Sementara itu, Penghulu Yusuf atau Tok Soh berjaya melepaskan diri dan meneruskan kehidupannya di Kelantan. |
|
Bermula dari Tok Soh inilah, lahirnya keluarga besar Haji Ali bin Awang. Tok Soh mempunyai 10 orang anak iaitu; Haji Abdul Rahman (Pergau), Tok Setap @ Che Mat Setap (Pergau), Che Kalthom (Pergau), Che Leh (Kg. Sukar Legeh), Che Lebar (Kok Lanas), Che Muji (Kota Bharu), Cik Fatimah (Kok Lanas), Cik Yam (Lundang Paku), Che Musa (Pasir Mas) dan Penghulu Che Ahmad @ Penghulu Raja (Prak Nat- Kota Bharu). Tok Soh telah menggunakan "Che" pada setiap nama anak-anak beliau bagi menggantikan perkataan "Raja" dan sebagai langkah mengelakkan dari dikesan oleh Kerajaan Siam dan Kelantan. Dari generasi ini lahirlah Haji Ali yang merupakan anak tunggal kepada Che Som dan Awang yang mana Che Som adalah anak perempuan Che Fatimah (anak Tok Soh) |
|
Salasilah ini telah dicatat oleh Allahyarham Che Kadir Adabi anak kepada Penghulu Che Ahmad dan catatan tersebut telah diserahkan pula kepada anaknya, Allahyarham Mansor Adabi. Allahyarham Mansor Adabi akhirnya telah menyerahkan Catatan Salasilah ini kepada Pak Cik Mat Napi sebelum kematiannya. |
Sumber:Pak Cik Mat Napi, Keterah, Kelantan. |
|
VERSI II: |
Salasilah keluarga Haji Ali dikatakan berketurunan daripada Mekong Cheng. Mekong Cheng adalah pengiring kepada Pembawa Ufti Emas. Beliau mengiringi Raja Abdullah yang bertindak sebagai Pembawa Ufti Emas daripada Kerajaan Kelantan kepada Kerajaan Siam pada ketika itu. |
|
Setelah lama berkhidmat sebagai pengiring kepada Pembawa Ufti Emas, Mekong Cheng telah bersara dan menetap di Prak Nat, Kelantan. Kerajaan Kelantan telah menganugerahkan gelaran Mekong kepada beliau sebagai balasan di atas jasa-jasanya. Pada waktu itu, gelaran Mekong adalah bersamaan dengan jawatan Penggawa pada masa kini. |
|
Di Prak Nat, Mekong Cheng telah beristeri dengan orang tempatan dan mendapat 7 orang anak; 3 perempuan dan 4 lelaki. Tiga daripada anak lelakinya telah memegang jawatan Penggawa di tiga tempat berasingan iaitu Demit, Pangkal Kalong dan Pasir Puteh. Mekong yang menetap di Pangkal Kalong dipercayai mempunyai beberapa orang anak dan salah seorang daripada mereka dikenalpasti bernama Haji Ismail atau Mekong Wel. Hasil daripada perkahwinannya, lahirlah Che Som yang merupakan ibu kepada Haji Ali. Ini menunjukkan keluarga Haji Ali berketurunan Mekong Cheng. |
Sumber: Ayah Wel, Batu Lapan(Kadok),Kelantan. |
|
|
|